Friday, April 29, 2011

PERKONGSIAN: Titian Kesabaran

“ Afiq,betul ke sabar tu ade batasnya?”
….
“ sabar itu adalah sepanjang masa dan abstrak, tiada siapa dapat ukur di mana takat kesabaran itu berakhir.”
….
“owh..maknanya lain orang lain maksud sabarnya ye?”
…..
“ terpulang. bergantung sejauh mana diorang memahami erti sabar itu yang sebenarnya.”




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


setiap insan yang dilahirkan di atas muka bumi Allah ini,bermula dengan insan yang pertama yang diciptakan sehinggalah insan yang terakhir yang diciptakan pasti tidak akan terlepas daripada ujian.
Ia bukan sahaja datang dalam rupa musibah, malah kesenangan itu jua sebuah ujian dari Tuhan istimewa buat hamba-hambaNya.

“ Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.”

[QS; Al Anbiya’(21): 35]

Janganlah kita menyangka bahawa ujian hanyalah dalam bentuk musibah yang memudharatkan manakala kenikmatan yang dikecapi adalah kemuliaan dari Allah s.w.t, sedangkan segala yang dianugerahkan kepada kita di atas bumi ini tidak lain sekadar ujian dari Dia..

Bila mana seseorang Islam itu mengaku dia beriman kepada Allah, jangan sedetik pun merasakan syurga sudah berhak dan layak bagi dirinya.
Allah Maha Tahu setiap lintasan hati kita,

Apakah manusia mengira bahawa mereka hanya akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “ Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?

Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka  Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.

[QS; Al Ankabut(29): 2-3]

Dan pasti, ujian atas dasar keimanan itu akan berterusan sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir.




Kita cumalah hamba Ilahi yang tidak punyai apapun, kerna kita sendiri muslim (orang yang menyerahkan diri). Menyerahkan diri kepada siapa?
Tanyalah diri sendiri, kepada siapa dirimu diserahkan selama ini?
adakah kepada kecintaan terhadap duniawi?
fikirkan baik-baik, jika kita hanya berimpikan keduniaan pasti kita akan dapat dan tidak perlu risau.
Namun, khuatirilah bahawa tiada bahagiamu untuk di akhirat kelak!

“ Barang siapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami akan segerakan baginya di (dunia) ini apa yang Kami kehendaki. Kemudian kami sediakan baginya (di akhirat) neraka Jahannam;
dia akan memasukinya dalam keadaan yang tercela dan terusir.


Tak perlu susah-susah jika hanya menginginkan dunia, Allah s.w.t akan bagi dengan mudahnya.
Bagaimana pula jika kita mahukan kehidupan yang abadi di akhirat?

“Dan barang siapa menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu bersungguh-sungguh,
sedang dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik.”


[QS; Al Isra’(17): 18-19]

Maha Suci Allah, jika kita mendambakan kehidupan yang abadi di akhirat sedang kita yakin akan janji Allah, bersungguh-sungguh ke arahnya setiap masa itu suatu kepastian yang tidak akan mampu disangkal.

Sekali lagi diingatkan, dunia ini tidak lain hanya medan tarbiyah dengan pelbagai rupa cabaran dan rintangan, setapak demi setapak kita sebenarnya sedang membina kemampuan diri kita terhadap penerimaan sesuatu ujian dari Tuhan, tidak kira nikmat atau musibah.






Persoalannya, bagaimana respon kita sebaik sahaja ditimpakan dengan sesuatu ujian?
adakah cukup dengan berkata,” bersabarlah kawan…”

Ya. Bibir mudah mengungkap sabar, namun hati yang remuk redam siapa yang tahu.
Jika tidak disuruh bersabar sekalipun kita tetap harus bersabar kerna ketentuan Ilahi itu adalah muktamad dan tiada kuasa yang mampu mengubahnya tanpa keizinan dari Dia.

Maha Suci Allah,kesabaran yang sebenar adalah ketika kali pertama ia ditimpakan ujian.
Sikap tidak mudah melenting dan bertindak negatif membuktikan kesabaran sedang memayungi diri yang ditimpa musibah. Teladanilah kesabaran dari Rasulullah s.a.w;

Suatu hari, Rasulullah berjalan melalui satu tanah perkuburan. Di satu sudut, didapati ada seorang wanita duduk di sisi pusara anaknya sambil menangis.

Rasa simpati terbit dalam hati Rasulullah, lantas Baginda bersabda yg bermaksud:
"bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah."

sebaik sahaja mendengar lafaz sabar, wanita itu naik angin.
Dihalaunya Rasulullah, "Jauhkan dirimu daripadaku! Engkau tidak menderita ditimpa musibah sepertiku."

Jelaslah, wanita itu tidak tahu bahawa pesan sabar itu lahir dari hati seorang Rasul. Sebab itu agak kasar bicaranya.

Namun Rasulullah s.a.w sedikitpun tidak tersinggung. Baginda meneruskan perjalanan Baginda.

Setelah diberitahu oleh orang berdekatan bahawa yg menasihatinya itu adalah Rasulullah, rasa bersalah terbit dalam hatinya.Wanita itu segera bergegas pergi menemui Rasulullah s.a.w.
Itulah akibat cepat melenting dan tidak bersabar.

Lafaz pertama yg terbit saat dia menemui Rasulullah ialah ucapan maaf.
"Maaf, aku tidak mengenalimu ya Rasulullah." Rasulullah tetap tenang,
malah ucapan Baginda berupa wahyu itu memandu kita tentang sabar hingga hari ini.

sabda Baginda yg bermaksud:
"Sesungguhnya KESABARAN ITU ialah PADA HENTAMAN(PUKULAN) YANG PERTAMA." 


hadis-muttafaqun 'alaih-

Begitu indah erti kesabaran yang diajarkan Rasulullah s.a.w kepada umatnya.
Seterusnya, kesabaran yang  dipamerkan itu adalah biasa,tetapi kesabaran yang diiringi dengan kesyukuran itu adalah luar biasa.

Berapa ramai umat manusia yang bila mana ditimpa musibah lantas dia bersyukur kepada Ilahi dengan memperhebat amal kebajikan dan ibadahnya ?
Yang kebanyakan dilihat hari ini adalah manusia yang  acapkali menjadikan musibah sebagai alasan untuk mereka tidak berbuat lebih dalam kebajikan dan ibadah.





Sesungguhnya ujian itu adalah tanda diri kita diperingatkan Ilahi agar merayulah kepadanya dengan rendah diri dan keikhlasan yang murni.Tapi mengapa?
……….
Agar kita tidak meninggalkan Dia, kerna Dia tidak pernah akan meninggalkan kita;

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintahKu) dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.”

[QS; Al Baqarah(2): 186]

Allah mahu kita semua beriman kepadaNya agar kita peroleh kebenaran dan tidak leka dibuai tipu daya duniawi.

Adakala kita berasa berat dan kecewa tahap karma, ketahuilah bahawa Allah tidak akan membebani kita dengan ujian yang tidak mampu kita atasi,Dia Maha Tahu apa yang terbaik buat hambaNya.
Janganlah bersedih teruskan bersabar serta syukur,sungguh pertolongan Allah amat dekat dengan orang-orang beriman;

Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai ujian), sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata,
” Bilakah datang pertolongan Allah?”
Ingatlah pertolongan Allah itu dekat.


[QS: Al Baqarah(2): 214]

Setiap yang bermula pasti akan berakhir,
pastikan kesudahan kesabaran kita dalam mengharungi liku-liku arus duniawi ini disudahi dengan keindahan nan abadi di syurgawi.

Akhir kalam,
BERSABAR dan BERSYUKURLAH kepada Ilahi.
=)

wallahu’alam…





Sabar ketika menghadapi musibah adalah sebenar-benar erti sabar,


di mana sabar itu memerlukan kesabaran pula,


adapun bala dan musibah itu,


menunjukkan bahawa adanya perhatian dan kasih sayang Allah,


Demikian itu,syukurilah ia kerna syukur yang demikian,


adalah setinggih-tinggih erti syukur.

-Imam As Syafi’e-

No comments:

Post a Comment