Saturday, April 30, 2011

PERKONGSIAN: Silauan Sinar Keikhlasan

“ Akh, macam mana nak menilai keikhlasan seseorang dalam berbuat sesuatu amal kebajikan?”

“ SubhanAllah, tiada satu pun makhluk Allah sekalipun malaikat dapat menilai keikhlasan manusia akh,
Islam tidak menggalakkan umatnya mengatakan, “ saya ikhlas ni”, dalam erti kata lain tidak boleh sesuka hati kita mengatakan kita ikhlas dalam berbuat kebaikan sesama insan.

Yang pasti, ikhlas itu menjadi titik tolak penerimaan sesuatu amal itu sama ada ibadah atau sebaliknya dan hanya Allah s.w.t jualah yang Maha Mengetahui.






“ Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”
[QS; Qaf(50): 16]
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani;
 
Memetik kata-kata pengasas gerakan dakwah Ikhwanul Muslimin, As Syahid Imam Hassan Al Banna mengenai ikhlas;

keikhlasan ialah mensengajakan segala perbuatan hanya demi Allah dan memurnikan setiap perbuatan daripada setiap hal yang berkaitan dengan kepentingan dunia.




Ikhlas hanya kerana Allah itu adalah sebenar-benar keikhlasan, hati insani yang ikhlas dalam berbuat amal kebajikan tidak termakan dengan bodekan dan pujian sanjung dari pandangan manusia, hati insani yang ikhlas jua tidak akan terkesan dengan cercaan mahupun herdikan.

Kerana hati yang ikhlas demi mengharap redha Allah akan menjadi kalis terhadap segala unsur duniawi yang menjerat hati.

Dalam konteks kehidupan saban hari, kerosakan umat yang amat teruk dapat dikenal pasti kerna ketidak ikhlasan umat Islam itu sendiri dalam menyemai nilai agama dalam meniti arus kehidupan yang sementara ini…

Lihatlah hari ini, dengan zinanya,rasuah,konspirasi alam politik dan ekonomi, keruntuhan akhlak remaja yang teruk,hedonisme dan bermacam aneka lagi.
Sedangkan fitrah insani itu cintakan kebaikan dan ketulusan, fitrah ini hanya mampu mewarnai kehidupan sekiranya umat Islam itu sendiri ikhlas kepada penciptanya yang Maha Agung seolah-olah merasakan diri sedang diperhatikan daripada segala perbuatan yang menyalahi aturanNya.

“Dan siapakah lebih baik agamanya daripada orang yang dengan ikhlas berserah diri kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan, dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah memilih Ibrahim menjadi kesayanganNya”
[QS; An Nisa’(4): 125]

Ingin saya kongsikan sebuah kisah tentang seorang guru yang mengajarkan muridnya tentang erti keikhlasan dengan caranya sendiri;

***
Suatu hari seorang guru tua menghimpunkan semua anak muridnya di dalam satu separa bulatan, seraya berkata,” Hari ini aku akan ajarkan kamu semua erti ikhlas, jadi pastikan setiap di antara kamu mendapatkan sebuah karung guni yang penuh diisi dengan batu.”

…..
“Baik guru, sami’na wa atha’na.”jawab anak murid hampir serentak memecahkan kesunyian pagi itu.
….
“ Baiklah, semua sudah sedia nampaknya..kita akan berhenti di hujung pekan, tapi sebelum itu kita akan melalui sebuah bazar yang ramai dengan pengunjung.”

setiba sahaja mereka di bazar yang dimaksudkan, banyak mata yang tertumpu kepada kumpulan murid dan guru tadi.Mereka berasan kagum dan terkesima kerana menyangka bahawa murid-murid  itu adalah dari golongan saudagar yang kaya kerana menggalas guni yang sarat dengan barangan kelihatannya.
Terdengar suara-suara, “wahh, kaya betul lah budak-budak tu,tentu saudagar muda datang berdagang ni.”…

Semua murid ketika itu berasa bangga dan selesa dengan pujian begitu, walhal yang digalas mereka cuma batu-batu yang tidak berharga sesen pun.

Akhirnya guru dan semua muridnya pun tiba di penghujung pekan lalu berehat sebentar di bawah pohon untuk berteduh.
“Tahukah kalian, dengan perbuatan yang kalian lakukan tadi itu adalah gambaran ikhlas.”

(salah seorang murid bertanya sambil menggaru kepala yang tidak gatal),” Saya dan kawan yang lain tak faham apa yang dimaksudkan guru dengan gambaran ikhlas tu.”

“Begini, tiada siapa tahu akan keikhlasan yang terbit dari hati ketika kita beramal, segalanya bergantung kepada niat yang didahulukan. Adakah berbuat kerna mencari pandangan Allah atau hanya mengharap sanjungan dari manusia?

ramai manusia yang banyak amalnya ketika di dunia sehingga orang yang melihat pasti akan mengangumi dirinya. Namun, sekiranya manusia itu hanya beramal demi mencari kemuliaan pada pandangan manusia nescaya amal kebajikan atau ibadahnya yang banyak itu sama seperti batu yang tiada nilainya,nyata mereka tertipu dengan amalannya yang banyak hanya kerna niat tidak ikhlas kerana mencari redha Allah, segalanya pasti jadi sia-sia.”

suasana menjadi sepi dan tenang, hanya desiran angin petang yang berbisik ngilu.




 Melalui kisah di atas, niat yang ikhlas kerana Allah dalam seseorang itu beramal tidak dapat dipisahkan, kerana manusia hanya akan dapat apa yang diniatkan..jika berkehendak hanya kepentingan dunia, Allah pasti akan memberi,namun tiada pula bahagian untuk di akhirat kelak.


Maka di antara manusia ada yang berdoa, “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia,” dan di akhirat dia tidak memperoleh bahagian apapun.
[QS; Al Baqarah(2): 200]


Ingatlah bersama setiap amalan itu dimulai dengan niat!




“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda;

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.









Jadi, ikhlaskan niat kita berbuat,beramal kebajikan serta beribadah
demi mardhatillah!

No comments:

Post a Comment