Sunday, February 20, 2011

PERKONGSIAN: Wahai Pemuda Islam!

Wahai pemuda!

Setiap fikrah itu akan hanya berjaya apabila ia diperkuatkan dengan iman, dilengkapkan dengan keikhlasan yang mendalam untuk memperjuangkannya, ditambah dengan semangat yang berkobar-kobar dan persediaan yang rapi untuk beramal dan berkorban dalam perlaksanaannya. Sepertinya keempat-empat rukun ini, iaitu iman, ikhlas, semangat, bekalan amal merupakan karakter yang melekat pada diri pemuda, kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertaqwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, dan dasar amal adalah kemahuan yang kuat. Itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda.


Oleh kerana itu, sejak dulu hingga sekarang pemuda merupakan pilar kebangkitan. Dalam setiap kebangkitan, pemuda merupakan rahsia kekuatannya. Dalam setiap fikrah, pemuda adalah pengibar panji-panjinya.

إِنَّہُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدً۬ى

Maksud: "Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk." (Al-Kahfi: 13)

Wahai pemuda!

Dengan ini bermakna kewajipan kamu banyak, tanggungjawap kamu berat dan terlalu banyak hak bangsa kamu yang perlu kamu tunaikan. Ini bermakna amanah yang kamu pikul adalah berat. Kamu perlu berfikir semasak-masaknya, kamu perlu berusaha lebih, kamu perlu menentukan pendirian kamu, kamu perlu mara sebagai penyelamat. Kamu perlu tunaikan segala hak ummah dengan segala keistimewaan yang kamu miliki sebagai pemuda!


Ada pemuda yang lahir dalam sebuah bangsa yang hidup aman sejahtera. Bangsa ini memiliki kuasa yang mantap dan kemajuan yang melimpah ruah. Pemuda yang lahir dalam suasana ini akan lebih mementingkan diri daripada mementingkan nasib bangsanya. Dia akan sentiasa berhibur dan berseronok dengan jiwa yang tenang dan selesa.


Ada pula pemuda yang lahir dalam sebuah bangsa yang sedang berjuang kerana bangsanya sedang dijajah. Musuh menentukan segala nasib bangsanya. Bangsanya sedang berjuang bermati-matian untuk mengembalikan hak mereka yang telah dinafikan, khazanah mereka yang telah dirampas, kebebasan mereka yang telah lenyap termasuklah kegemilangan dan kedudukan mereka. Ketika itu, keutamaan pemuda ialah mementingkan nasib bangsanya lebih daripada mementingkan nasib dirinya sendiri. Jika kewajipan ini berjaya dilaksanakan, dia bakal beroleh kejayaan dunia dengan menerima kemenangan di medan perjuangan dan dia akan beroleh kejayaan akhirat dengan menerima ganjaran dari Allah. Mungkin kita bernasib baik kerana kita bersama berada dalam golongan yang kedua. Kita berpeluang melihat sebuah bangsa yang sedang berjuang dan berkorban untuk memperolehi hak dan kebebasan. Bersedialah wahai para pejuang kerana kemenangan sangat hampir dengan orang-orang yang beriman dan kemenangan besar akan diperolehi oleh orang-orang yang beriman dan kejayaan besar akan diperolehi oleh orang-orang yang berusaha tanpa henti.


Daripada Imam Hassan Al-Banna buat pemuda Islam.

No comments:

Post a Comment